PENCALONAN filem pendek yang dihasilkan daripada kisah sebenar kes pembunuhan kanak-kanak James Bulger mendapat kecaman daripada ibu mangsa yang berasa 'terhina' dengan tindakan itu.

"Detainment" yang tercalon dalam kategori Filem Pendek Terbaik di Anugerah Akademi ke-91 menceritakan tentang bagaimana mangsa budak lelaki berusia dua tahun itu diperdaya, diseksa dan kemudiannya dibunuh dua budak lelaki lain berusia 10 tahun.

Sebelum pencalonan Oscar diumumkan pada Selasa, ibu mangsa Denise Fergus telah memulakan petisyen agar filem itu tidak disenaraipendekkan.

Petisyen itu mendapat lebih 90,000 tanda tangan dan meningkat kepada lebih 150,000 tanda tangan selepas pengumuman Oscar.

“Filem ini dilakukan tanpa menghubungi dan meminta kebenaran daripada pihak keluarga kami.

"Kami seolah-olah melalui semula kesengsaraan apabila detik-detik terakhir James dibunuh dengan kejam dilakonkan semula seorang anak kecil yang lain,” kata Fergus dalam satu kenyataan.

“Pihak Akademi (penganjur Oscar) seolah-olah mengetepikan perasaan saya sebagai ibu walaupun lebih 90,000 sudah menandatangani petisyen supaya filem ini tidak dicalonkan.”


Pengarah "Detainment", Vincent Lambe telah pun meminta maaf dan menyatakan rasa simpati kepada keluarga Bulger.

Pengarah itu turut menawarkan sumbangan daripada hasil kutipan filem tersebut untuk Tabung Peringatan James Bulger.

Lambe juga masih menggunakan nama James Bulger untuk mempromosikan filem tersebut.

Filem pendek tersebut menggunakan transkrip keterangan serta rekod rasmi polis, rakaman kamera keselamatan dan pelakon untuk melakonkan semula penahanan dan soal siasat dua pesalah juvana terbabit.




Penganjur Oscar, Academy of Motion Pictures Arts dan Sciences (AMPAS) berkata mereka tidak berniat untuk menambah kedukaan pada keluarga Bulger.

AMPAS mengambil serius kenyataan Fergus tetapi mengekalkan pendirian untuk berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Pihak Akademi menyerahkan kepada ahlinya untuk melakukan penjurian berdasarkan kelebihan filem yang bertanding.

Anugerah Akademi ke-91 akan diadakan di Dolby Theatre pada 24 Februari depan.