Penangan program Super Spontan All Stars kali ini telah menyebabkan salah seorang ahli kumpulan #KungfuKipidap Nana Mahazan mengakui tidak tenang dan susah untuk melelapkan mata kerana terlalu takut.

Menurut Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, dia mempunyai alasan yang kukuh mengapa menawarkan diri untuk disingkirkan pada episod pertama minggu lalu.

“Saya rasa seperti tak layak untuk saya kekal di atas pentas Super Spontan All Stars kerana mereka semua hebat-hebat belaka. Bayangkan Uqasha Senrose sendiri dah tunjukkan dia sangat bagus sebab mampu kalahkan pelawak seperti Along Cham.

“Bayangkan saya undi nama sendiri untuk untuk disingkirkan. Bila Datuk AC Mizal nak umumkan siapa peserta yang bakal tersingkir, cepat-cepat saya tawarkan diri kerana percaya ahli kumpulan #KungfuKipidap lebih layak berada di pentas Super Spontan All Stars pada minggu hadapan.

“Rasa macam tak mahu berada di Super Spontan All Stars kerana takut dan rasa hati tak tenang setiap malam,” jawab Nana Mahazan ditemui sejurus selesai minggu pertama Super Spontan All Stars di Studio V3HD, Bukit Serdang Selangor.

Jelas Nana lagi, dia sangat mengagumi ahli kumpulannya Uqasha Senrose yang berjaya membuktikan dia juga mampu untuk bersaing hebat dengan para peserta yang lain walaupun masih terlalu baru di pentas Super Spontan All Stars.

“Uqasha Senrose berjaya buktikan dia layak untuk bermain di pentas Super Spontan All Stars kerana dia berjaya bersaing dengan para pelawak yang hebat dengan baik sekali. Saya sendiri ketawa macam nak pecah perut dan saya gembira kerana semuanya beri sokongan buat Uqasha setiap kali dia ke atas pentas,” jelas Nana.

Tambah Nana lagi, dia melihat Johan adalah peserta yang layak untuk ke pentas akhir sekaligus diumum sebagai juara Super Spontan All Stars.

“Semestinya Johan. Saya lihat dia paling layak untuk memenangi Super Spontan All Stars. Johan seorang yang cukup mahir dalam permainan spontan. Ada sahaja idea yang boleh keluar dari mulutnya. Tetapi senang cerita para peserta kali ini memang terlalu hebat.

“Tetapi pilihan saya tetap Johan kerana dia adalah ketua pasukan kumpulan #KungfuKipidap dan saya percaya dia antara yang layak untuk berada di pentas akhir kelak,” ujar Nana lagi.

Ditanya mengenai perancangan untuk bertahan di minggu kedua Super Spontan All Stars, Nana menjelaskan dia hanya mahu berseronok tidak terlalu serius untuk bersaing dengan para peserta yang lain.

“Saya tidak mahu terlalu serius dan hanya mahu berseronok di pentas Super Spontan All Stars sebab kebanyakan yang masuk edisi kali ini adalah mereka yang telah bersama saya di musim pertama.

“Saya masuk untuk enjoy-enjoy sahaja dan tidaklah sampai nak masuk ke pentas final. Cukup sekadar saya mencuba sehingga yang termampu,” jelas Nana mengakhiri perbualan.