PENYANYI rap antarabangsa, Kanye West, nampaknya tidak serik untuk 'mencari pasal' dengan rakan-rakan artis, termasuklah Taylor Swift.

Jika dahulu, perang antara mereka tercetus gara-gara West menganggu ucapan Swift ketika menerima anugerah, kali ini lebih teruk apabila West menggunakan model yang memiliki wajah seakan Swift dalam muzik video terbaharunya, Famous.

Apa yang menjadi isu adalah ialah model tersebut berbaring di sebelah West tanpa seurat benang, dan imej itu nampak seolah-olah Swift apabila dilihat dari sudut yang dipaparkan.

Menurut laporan Hollywoodlife.com, sumber memberitahu Swift merasa malu dan terluka dengan apa yang dilakukan West, apatah lagi West tidak berbincang terlebih dahulu dengannya.

"Dia (Swift) sangat marah. Dia tidak percaya West sanggup berbuat demikian, dan sangat kecewa dengan situasi ini," kata sumber itu.

Bukan sahaja muzik videonya, lagu Famous turut mempunyai satu ayat di mana West menggambarkan Swift menggunakan perkataan yang tidak enak didengar.

Selain Swift, turut dipaparkan dalam video itu adalah Chris Brown, Rihanna, Caitlyn Jenner dan Donald Trump.