Sejumlah 11 individu di Terengganu dikesan terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas Daish.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu dikesan terlibat dari tahun 2013.

Menurut Aidi, kebanyakan mereka yang ditahan adalah penganggur dan ada dalam kalangan mereka yang memiliki ijazah.

“Mereka ini berpindah-pindah. Ada sebahagian (daripada mereka) bukannya aktif tapi menyokong (aktiviti), atau kasihan dan simpati pada apa yang disiarkan Daish dalam Facebook dan sebagainya. Di Terengganu, banyak berlaku (kes atas sebab) simpati,” ujar Aidi.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga kini tiada tangkapan baru direkodkan di Terengganu.

Jelasnya, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berhubung kegiatan itu bagi memastikan ia tidak menular di Terengganu.

Menurut Aidi, pemantauan itu turut dilakukan di kawasan pedalaman.

Sebelum ini, seorang buruh binaan yang juga ketua sel ‘wolf pack’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas lapan pertuduhan merancang pembunuhan berprofil tinggi dan serangan serangan keatas rumah ibadat bukan Islam.