Sebanyak 150 kedai serbaneka 24 jam 7-Eleven sekitar Perak akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dikenali sebagai 'Safecam' sebagai usaha mengurangkan jenayah membabitkan premis berkenaan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak SAC T. Selvan berkata satu poster amaran menyatakan pemasangan 'Safecam' yang beroperasi 24 jam dipasang di kedai serbaneka itu.

"Turut dipasang di premis itu poster yang mengandungi nombor talian hotline polis Perak 05-2401999 dan bilik gerakan Ibu Pejabat Kontinjen 05- 2451222 bagi membolehkan orang ramai menghubungi jika berlaku jenayah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pemasangan 'Safecam' antara 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.

7-Eleven Sdn Bhd diwakili Pengurus Operasi Perak Muhammad Khairi Mod Zain dan Pengurus Operasi Wilayah Utara Muhammad Nazim Madown, manakala PDRM Perak diwakili Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Ismail Che Isa.

Selvan menasihati orang ramai supaya tidak bimbang untuk mengunjungi 7-Elevan yang beroperasi 24 jam kerana kedai serbaneka berkenaan dilengkapi CCTV.

"Selain itu, ia juga memberi amaran kepada penjenayah bahawa rakaman CCTV 24 jam di 7-Eleven akan menjadi bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Selvan berkata jenayah indeks di Perak bagi tempoh Januari hingga 15 Dis lalu berkurang kepada 5,549 berbanding 5,956 tempoh sama tahun lalu.

Bagi jangka masa sama, jenayah pecah rumah juga turun daripada 1,080 kes tahun lalu, kepada 807 kes tahun ini iaitu sebanyak 210 kes. - Bernama