Mahkamah Sesyen Sepang menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes empat individu yang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pendaftar Mahkamah Rendah, Rozaidi Yaacob menetapkan tarikh itu ke atas Umi Kalsom Bahak, 25, peruncit Rosmadi Che Daud, 42, arkitek Mohd Syafrein Bakar, 26, dan juruteknik Mohamad Yusoffe Ishak, 26 tahun.

Prosiding adalah untuk mengetahui sama ada kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur namun ditangguhkan kerana Hakim Aizatul Akmal Maharani bercuti.

Kesemua tertuduh didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dan menjadi ahli kumpulan berkenaan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130j (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 130j akta tersebut.

Pada masa sama, tertuduh berdepan pertuduhan pilihan iaitu didakwa hendak memasuki Syria melalui Istanbul, Turki untuk manfaat kumpulan IS.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan Shukor Abu Bakar.