Sebanyak 286 mangsa banjir daripada 82 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan setakat 11 pagi ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madif.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 167 orang daripada 52 keluarga adalah dari Daerah Hilir Perak, membabitkan Kampung Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8, ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

Kawasan itu masih dinaiki air setinggi 2.99 meter, katanya ketika dihubungi hari ini.

Yahya berkata terdapat pengurangan jumlah anggota keluarga berikutan ada yang hanya mendaftar namun tidak berada di pusat pemindahan terbabit.

Mangsa banjir di Bagan Serai, yang membabitkan Kampung Changkat Lobak, Matang Tengah dan Kampung Air Hitam, masil kekal 44 orang daripada 11 keluarga dan mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, katanya.

Sementara itu, mangsa tanah runtuh 75 orang daripada 19 orang membabitkan Kampung Padang Serai, Batu Hampar, Beruas masih ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Radhuaniah Kampung Padang Serai.