Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa dari 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Perintah ini bagi membendung penularan COVID-19 di Malaysia susulan peningkatan mendadak sebanyak 790 kes kumulatif positif COVID-19 dan meragut dua nyawa, sehingga tengah hari Khamis.

Oleh kerana masih ada dalam kalangan rakyat yang tidak patuhi Perintah Kawalan ini, beberapa langkah telah dilakukan oleh pihak berkuasa serta pihak Kementerian bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi oleh semua rakyat di seluruh negara, antaranya ialah:

KUARANTIN

Rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara ketika tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, wajib menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin secara sukarela selama 14 hari di kediaman masing-masing.

Perkara ini dapat memastikan virus korona yang mempunyai tempoh inkubasi 2 hingga 14 hari, tidak terus menjangkiti rakyat Malaysia.

SEKATAN JALAN RAYA

Pada malam Rabu, iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, pihak polis telah mengadakan 504 operasi besar-besaran berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam pada itu, 6135 kereta berjaya diperiksa dan pihak polis masih akan menggunakan kaedah menasihati namun tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil.

POLIS JEJAKI BAKI JEMAAH TABLIGH

Pihak polis telah mengambil keputusan untuk menjejaki dan mengesan sendiri baki 4000 peserta perhimpunan tabligh antarabangsa di Masjid Jamek, Sri Petaling, yang menyerupakan punca gelombang kedua penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Dalam kira-kira 14,500 warga Malaysia hadir pada himpunan tabligh itu, dan 10,553 telah berjaya diperiksa dimana 513 disahkan positif, 2,559 didapati negatif, manakala 1,990 masih sedang menunggu keputusan ujian.

LIBATKAN ANGGOTA TENTERA

Kerajaan menggunakan khidmat anggota tentera untuk memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, susulan hanya 60 peratus rakyat yang mengambil serius perintah ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berharap agar rakyat mematuhi Perintah oleh kerajaan ini, dan jika angka itu meningkat daripada 60 hingga 70 peratus kepada peratusan yang lebih tinggi, angkatan tentera tidak perlu dikerahkan.

JAWATANKUASA KHAS MENTERI-MENTERI

Menyuarat Kabinet pula bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang melibat 19 Kementerian, 19 Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Majlis Keselamatan Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Kementerian terbabit.

Pada Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan sekali gus menghapuskan COVID-19 di Malaysia.