Kementerian Kesihatan akan menempatkan kira-kira 60 pegawai perubatan pelbagai bidang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan sokongan untuk berkhidmat di hospital medan yang bakal dibina di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata semua pegawai perubatan berkenaan sudah bersiap siaga dan bersedia untuk dihantar pada bila-bila masa.

Jelasnya, tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi pegawai perubatan Malaysia berkhidmat di kem pelarian berkenaan dan ia bergantung sepenuhnya kepada berapa lama mereka diperlukan di sana.

"Jika perkhidmatan pegawai perubatan Malaysia diperlukan dalam tempoh yang agak lama, kita berkemungkinan akan menghantar mereka secara bergilir-gilir.

"Kementerian Kesihatan telah melaksanakan segala persiapan untuk pergi ke sana dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini adalah bantuan kemanusiaan dengan kumpulan masyarakat di mana-mana lokasi di dunia yang memerlukan selain tertakluk kepada kemampuan kita," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya belum menetapkan kem pelarian di Cox's Bazar yang akan menjadi lokasi perkhidmatan pegawai perubatan Malaysia kerana sedang menunggu cadangan daripada kerajaan Bangladesh.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan Kementerian Kesihatan susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dua hari lalu bahawa hospital medan bernilai RM3.5 juta akan dibina di kem pelarian Rohingya di Bangladesh bagi memberi rawatan kesihatan kepada mereka.