KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pembaca berita popular Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pelakon Wan Chik Daud yang kembali ke rahmatullah, semalam.

Menerusi Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah bersabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

"Khidmat bakti dan jasa Allahyarhamah, khususnya kepada dunia penyiaran negara amatlah dihargai," titah baginda di sini pada Sabtu.

Seri Paduka Baginda dalam pada itu turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarhamah pernah berlakon bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Do Re Mi ketika zaman kegemilangan Studio Merdeka di Kuala Lumpur.

Selepas itu, Allahyarhamah meneruskan kerjaya bersama RTM sehingga bersara.

BACA: Pembaca berita Wan Chik Daud meninggal dunia