Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat gangguan dan pencerobohan siber di pejabat beliau.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ia memberi kesan terhadap kesemua laman sosial milik Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Gejala pencerobohan siber sebegini semakin merebak tatkala kita meluangkan seberapa banyak masa di ruang digital.

“Ternyata ia suatu impak yang negatif dalam keghairahan kita mencakup teknologi, dan senantiasa terdedah kepada individu yang menggunakan perkakas-perkakas digital samada untuk keuntungan segera atau membangkit ketidaktentuan dan kecelaruan,” katanya.

Seorang pegawai beliau memberitahu, atas sebab pencerobohan siber itu, Anwar gagal untuk mendaftar masuk laman Instagram dan Twitter beliau.

Mengulas lanjut, bekas timbalan perdana menteri itu berkata ‘big data’ dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) hanya akan dipacu dengan baik sekiranya ruang digital digunakan secara meluas, dan ia harus diseimbangkan dengan perlindungan data yang munasabah.

“Selain itu, pendekatan yang baik dalam bagaimana data diguna pakai juga perlu. Isu-isu ini juga turut disentuh saya dalam mengajukan Digital Native Agenda (DNA23) yang kini menjadi fokus,” katanya lagi.

Anwar berkata, pegawai beliau sedang menyelenggara permasalahan ini, dan semua pihak disarankan untuk kekal waspada terkait segala maklumat yang datang dari pejabat beliau, mahupun akaun-akaun media sosial atas nama beliau sendiri.

“Kami sedang berusaha dengan pihak yang berkaitan dalam menyelesai isu pencerobohan siber ini,” katanya lagi.