Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau tidak setuju jika Akta Hasutan 1948 digunakan untuk menyekat pemimpin muda berpotensi seperti aktivis pelajar Adam Adli untuk menyuarakan pendapat mereka.

Walaubagaimanapun, ahli parlimen Barisan Nasional (BN) berkata beliau setuju sekiranya Akta Hasutan digunakan untuk mengawal tingkah laku rakyat memandangkan Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum.

“Jika Akta Hasutan digunakan untuk menghalang minda generasi muda seperti Adam Adli, saya tidak akan setuju,” tegas Nur Jazlan dalam sebuah forum ‘Freedom of Expression’ pada Khamis.

Beliau membandingkan Adam dengan pemimpin-pemimpin seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktivis Hishamuddin Rais, yang sangat lantang dalam menyuarakan pandangan ketika mereka masih lagi di universiti, telah menjadi pemimpin yang berpengaruh pada hari ini.

Beliau juga memuji Adam kerana berani menyuarakan pandangannya dan apa yang telah beliau lakukan selama ini.

“Saya percaya Adam akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang, saya sendiri pun tidak berani seperti beliau,” kata pendokong BN tersebut.

Pada masa yang sama, beliau juga memuji akta tersebut, dengan mengatakan ia telah digunakan selama lebih 60 tahun dan setakat ini telah berjaya menghalang ancaman dari dalam negara.

“Akta ini sudah lama digunakan. Saya menganggap Akta Hasutan telah digunakan dengan begitu lancar sekali,” kata beliau.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-68 yang berlangsung bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dan diperkukuhkan.

Dalam ucapan dasarnya, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan pelbagai pihak.
Najib juga menegaskan akta terbabit penting dalam melindungi kesucian Islam serta agama lain.

Beliau menambah akta tersebut juga bakal digunakan ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.