Kerajaan bersetuju terdapat keperluan perundangan untuk melindungi hak warga emas dalam isu pengabaian dan penderaan, ekoran kes-kes berkaitan dengannya yang semakin meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata satu rang undang-undang warga emas akan dicadangkan bagi dibentangkan di Parlimen pada awal 2021.

"Satu kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi pewujudan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Dr Wan Azizah berkata Universiti Malaya (UM) dilantik sebagai perunding untuk melaksanakan kajian bagi menghasilkan rang undang-undang warga emas itu dalam tempoh 15 bulan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kajian diagnostik pembentukan model penjagaan jangka panjang warga emas yang mampan dan bersepadu di Malaysia sedang dijalankan.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai perunding bagi menjalankan kajian yang dijangka berakhir pada November tahun depan (2020).

"Antara hasil kajian ialah cadangan model penjagaan jangka panjang beserta pelan tindakan pelaksanaan termasuk keperluan modal insan, model pembiayaan yang mampan dan cadangan lokasi bagi melaksanakan projek rintis model penjagaan jangka panjang," katanya.

-- BERNAMA