Angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam (km/j) sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku bermula Sabtu, 29 Disember hingga 3 Januari depan.

Kawasan perairan utara Condore, utara Reef North dan utara Palawan ialah antara lokasi dipercayai berlaku fenomena tersebut, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada Jumaat.

Keadaan tersebut berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Fenomena angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 km/j dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter juga dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Condore, Bunguran, selatan Reef North, Layang-Layang, Reef South, selatan Palawan, Labuan dan Sabah Barat dalam tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, keadaan tersebut berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.