Majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu masih belum diputuskan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus, berkata majlis yang dijangka berlangsung pada Jumaat bagaimanapun ditangguh ke satu tarikh lain.

Pihaknya kini sedang mencari tarikh yang bersesuaian bagi menyempurnakan majlis tersebut.

"Pihak media akan dimaklumkan selewat-lewatnya Sabtu ini berhubung tarikh berkenaan," katanya ringkas menerusi WhatsApp kepada Astro AWANI hari ini.

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 apabila memenangi 11 kerusi Parlimen dan 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN pula berjaya mengekalkan dua kerusi Parlimennya iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor namun kehilangan satu kerusi Parlimennya iaitu Balik Pulau yang disandang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Manakala PAS menang satu kerusi.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.