Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohamed Azmin, 50, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairong Seri, Istana Alam Shah sekitar jam 10.40 pagi.

Beliau turut membacakan sepuluh ikrar Aku Janji yang antaranya memelihara serta menjunjung prinsip Rukun Negara; memelihara dan melindungi kesucian agama Islam serta menghormati hak agama lain; memelihara kedaulatan institusi DiRaja; mematuhi segala arahan dan ketetapan oleh DYMM Sultan Selangor; memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu; melaksana tugas dengan integriti tinggi; mendahulukan rakyat; memastikan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri; memelihara jawatan yang dipegang dari perkara yang menyalahi undang-undang; dan memastikan perpaduan antara kaum.


Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan melantik Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR, sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, berkuatkuasa hari ini (Isnin).

Perkara itu terkandung dalam surat pemberitahuan pelantikan daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, kepada Timbalan Presiden PKR itu.

Mohamed Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak, mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Abdul Khalid yang telah memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008.