Seorang bayi lelaki dengan kesan gigitan semut dan berkeadaan lemah ditemui dalam bungkusan di kawasan gerai cendol Jalan Salut, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra dalam satu kenyataan berkata bayi itu ditemui pada jam 12 tengah hari Isnin oleh peniaga buah buahan.

Peniaga tersebut dikatakan terlihat satu bungkusan beg berhampiran gerainya dan mendapati bungkusan tersebut bergerak-gerak.

Setelah dibuka peniaga itu terkejut mendapati isi kandungan bungkusan tersebut adalah seorang bayi.

Bayi yang ditemui itu berada dalam keadaan lemah, tidak bersuara atau menangis serta terdapat kesan gigitan semut pada bibir dan badannya.

Polis kini giat mengesan ibu bapa bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil ke balai polis berdekatan.