Belanjawan 2019 mempunyai ciri inklusif serta berkebajikan yang mengambil kira keperluan pelbagai golongan masyarakat dan menyediakan asas untuk pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial yang kukuh.

Penganalisis Ekonomi Dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Rafiq Idris berkata, dalam konteks Negeri Sabah, belanjawan ini yang memperuntukkan RM5 bilion kepada Sabah, berupaya mewujudkan kesan pengganda seterusnya keluaran dalam negara kasar Sabah pada tahun hadapan juga dijangka meningkat.

“Bagi saya belanjawan kali ini mempunyai ciri ciri inklusif berkebajikan dan perbelanjaan yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi.

“Ini kerana belanjawan ini tidak hanya ditujukan untuk masyarakat daripada latar belakang agama ataupun suku kaum tertentu,tetapi ianya secara umum untuk seluruh rakyat Malaysia,”katanya ketika ditemui Astro Awani, hari ini.

Dr. Rafiq juga menyatakan, ekonomi Sabah akan mampu bertumbuh dalam kadar empat hingga enam peratus pada tahun hadapan berdasarkan belanjawan ini namun ia tidak begantung sepenuhnya kepada belanjawan itu kerana perkembangan ekonomi dunia juga akan mempengaruhi.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik pengumuman penetapan kadar gaji minimum pada RM1,100 berbanding RM1,050 yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, walaupun kadar gaji itu masih belum memadai jika melihat kepada kos sara hidup ketika ini namun beliau percaya kerajaan mempunyai perancangan tersendiri untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Saya menyambut baik apabila diumumkan RM1100 kita faham ada kekangan, mungkin kerajaan berhasrat untuk meningkatkan lebih daripada itu tetapi pada saya ianya perlu dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.