Usaha untuk membendung rasuah dan membersihkan kegiatan haram boleh dilakukan jika ada kesungguhan politik dan kerjasama bersepadu daripada semua jabatan yang berkaitan.

Jelas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, antara langkah untuk mencegah rasuah adalah dengan mengukuhkan iman dan jati diri, pendidikan, penguatkuasaan undang-undang serta hukuman.

"Selain memudahkan urusan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), polisi yang mantap juga harus dibuat," ujar beliau.

Musa turut berkata bahawa kewujudan sindiket haram adalah kerana berlaku rasuah dan mereka mempunyai pengaruh ke atas parti politik yang mentadbir negara.

Musa memberi contoh senario yang berlaku di luar negara serta rantaian kesan apabila rasuah berleluasa.

"Kegiatan haram mereka akan terus dijalankan dan sebahagian daripada hasil wang kegiatan itu disalurkan kepada parti politik yang telah mereka kuasai.

"Bisnes haram mereka secara tidak langsung 'dijaga' oleh parti politik. Pihak penguatkuasa tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka juga mengikut arahan-arahan orang atasan (dalam politik)," kata Musa ketika menjadi panel penceramah dalam Seminar Kebangsaan Integriti dan Pencegahan Rasuah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di sini hari ini.

Beliau membentangkan ceramah bertajuk 'Pemberian Hadiah: Udang Di Sebalik Batu', yang antara lain menyentuh soal budaya pemberian wang atau barangan kepada pihak berkuasa untuk meraih kepentingan.

Memberi contoh lain, Musa memberitahu bahawa parti politik di Amerika Syarikat terang-terangan meminta dana daripada syarikat-syarikat korporat apabila tiba musim kempen pilihan raya.

"Namun begitu, semua dana itu disalur ke dalam akaun khas parti yang kemudian jumlah yang diperoleh itu diisytiharkan.

"Kalau di Malaysia, saya tidak pasti pula. Sekiranya berlaku kes seperti dana itu masuk ke dalam akaun peribadi, itulah yang mengundang masalah kerana terdedah dengan salah guna kuasa," ujar beliau.