Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET) menyambung pengajian di peringkat ijazah walaupun tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelajar lepasan diploma daripada institusi kemahiran berdepan kesukaran untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi memandangkan sijil asas berkenaan adalah pra-syarat ditetapkan kementerian terlibat.

"Asas untuk memasuki universiti adalah walaupun mempunyai sijil kemahiran tetapi wajib ada sijil SPM. Jadi akhirnya mereka terhenti setakat itu. Mungkin ada yang berminat nak menyambung ke peringkat ijazah dan sebagainya di bawah kementerian kita ada pelajar TVET di UNIKL.

"Jadi, maksud saya pelajar berkenaan hanya terhenti setakat diploma di situ," katanya ketika menghadiri Majlis Graduasi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Sesi 2014/2015 di Wisma FELCRA di sini hari ini.

Tambahnya, pelajar lepasan TVET perlu diberi peluang kedua selepas tidak berjaya dalam pelajaran di peringkat sekolah sebelum ini.

"Ini sebagai peluang kedua kepada mereka yang tiada kelayakan tinggi dalam pelajaran mereka. Justeru, kerajaan menyediakan TVET ini. Biasanya yang mendapat sijil akan keluar untuk bekerja atau berniaga sendiri.

"Namun ada yang berminat meneruskan sijil di Tahap 1, 2, 3, dan kemudian ke peringkat diploma. Lepas itu mereka terhenti setakat diploma. Itu adalah tahap maksimum yang mereka boleh pergi tanpa mempunyai SPM," katanya lagi.

Beliau berharap cadangan kementeriannya itu dapat diselesaikan tahun depan jika ia mendapat persetujuan sepenuhnya daripada KPT.

"Antara saya dengan menteri terlibat sudah saya suarakan pandangan ini. Beliau telah minta kita sediakan kertas kerja dan sebagainya untuk dibincangkan di peringkat pegawai dan sebagainya," katanya.

Dalam ucapannya, Ismail menyarankan pelajar lepasan SPM melengkapkan diri mereka dengan kemahiran teknikal dan vokasional bagi memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik kepada mereka.

"Setiap tahun dianggarkan 400,000 lepasan SPM. Daripada jumlah itu, lebih 100,000 akan memasuki dunia pekerjaan tanpa mempunyai sebarang kemahiran selepas menamatkan 11 tahun alam persekolahan.

"Berdasarkan kajian, kira-kira 80 peratus graduan PLKK mendapat pekerjaan atau bekerja sendiri dengan jangkaan pendapatan antara RM900 hingga RM5,000 sebulan," tambahnya lagi.

Katanya negara maju seperti Jepun dan Jerman dilihat menjadikan bidang kemahiran sebagai pilihan utama golongan belia.

"Remaja yang memilih program pengajian melibatkan kemahiran dipandang tinggi oleh masyarakat (negara maju) kerana untuk memasuki bidang pengajian teknikal dan vokasional, pelajar di situ perlu menguasai ilmu matematik mahupun fizik, jadi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan adalah cerah," katanya.