Inisiatif Impact Malaysia bukan sekadar penjenamaan semula oleh kerajaan namun membawa makna dan fokus yang lebih mendalam dan berpanjangan dalam kesukarelawanan belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia merupakan agensi baharu yang berlainan daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional dahulu iaitu IM4U.

“Saya secara peribadi tidak suka kalau kita hanya menjenamakan sesuatu tanpa ada penambahbaikan atau impak yang baharu, sebab itu Impact Malaysia ini bukan agensi lama tetapi sesuatu yang berlainan.

“Sebab kalau kita nak tekankan ke atas faktor kesukarelawanan, kita ada banyak sangat kumpulan sukarelawan seperti Rakan Muda, sekarang kita ada Majlis Belia Malaysia, sukarelawan siswa dalam setiap kementerian dan kadangkala fungsinya bertindih antara satu sama lain.

“Apabila ia tidak mempunyai fokus, kesemua organisasi sukarelawan akan bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang sama sekali gus menghasilkan impak kepada masyarakat yang lebih rendah.

"Sebab itu bila tubuhkan Impact Malaysia, ia cuma ada satu fokus iaitu inovasi kesukarelawan yang mana kita masukkan sekali teknologi kreatif untuk selesaikan masalah konvensional dihadapi masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Impact Malaysia di Puchong, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu berkata kesemua program dan inisiatif yang dirangka di dalam Impact Malaysia akan memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat.

“Kita mahu pastikan teknologi, belia dan komuniti bergabung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat negara ini,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan di bawah kementeriannya mempunyai banyak program daripada kerajaan terdahulu yang masih diteruskan tanpa ada penjenamaan semula.

“Contoh Fit Malaysia, kalau ikutkan boleh nak jenamakan semula, tapi buat apa? Dulu dah belanjakan berjuta ringgit nak buat jenama sekarang nak ‘rebrand’ buat apa nak lagi? Rakan Muda, Perdana Felo, Parlimen Belia sama juga tak perlu penjenamaan semula.

“Program yang lepas tak perlu penjemaan semula, tetapi hanya perlu penambahbaikan sahaja seperti Fit Malaysia kita tak jenamakan semula tapi kita pastikan ia ada system takdbir urus yang baik dan memberi impak yang besar.

“Program itu sebelum ini kos dalam RM1.3 juta di bawah kerajaan terdahulu kerana menggunakan kontraktor luar, tetapi kitab oleh lakukan perkara yang sama dengan hanya RM300 ribu menggunakan penjawat awam tetapi menghasilkan impak yang sama,” katanya lagi.