Seramai 3,026 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 45 buah negara, setakat Jumaat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu, daripada jumlah itu sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang terkandas direkodkan di India dengan 1,446 orang diikuti Thailand (259), Australia (152), New Zealand (149), Pakistan (144), Vietnam (131), Arab Saudi (121), Filipina (97), Sri Lanka (61) dan Nepal (50).

Menurutnya, 2,016 daripada mereka adalah pemegang visa pelancong atau pelawat jangka pendek manakala selebihnya merupakan rakyat Malaysia yang menetap atau bermastautin di negara-negara berkenaan.

"Mereka adalah antara yang bekerja atau melanjutkan pelajaran namun membuat keputusan untuk pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka dikategorikan sebagai individu terkandas yang tidak kritikal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata, sehingga hari ini, seramai 4,577 rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air sama ada secara proses repatriasi yang dibiayai oleh kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta mahupun dibiayai secara persendirian.

Jumlah itu katanya, termasuk 344 rakyat Malaysia di India yang tiba awal pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki dua pesawat sewa khas Malindo Airlines.

"Kita masih berusaha membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India menaiki tujuh penerbangan sewa khas Malindo secara berperingkat bermula hari ini (Jumaat) hingga Ahad ini," tambah beliau.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 310 pelajar Malaysia di Indonesia telah dibawa pulang menerusi beberapa penerbangan komersial sementara 126 pelajar lagi dijangka tiba pada Jumaat menaiki feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor.

Beliau menjelaskan, kesemua pelajar itu pulang atas inisiatif dan tanggungan sendiri dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan pejabat-pejabat Konsulat Indonesia.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata,kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan negara-negara Timur Tengah untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

Ekoran itu, Kamarudin memberitahu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menghubungi Putra Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman yang merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, pada Jumaat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan Brunei, kata beliau, telah menyerahkan 1,000 unit kit ujian saringan COVID-19 kepada Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma Putra hari ini.