Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disarankan untuk memperluaskan bantuan termasuk tidak mengenakan sewa sebulan kepada penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana, mereka juga berhak menerima bantuan berkenaan kerana turut tergolong dalam kumpulan miskin bandar.

"Saya difahamkan daripada 42,000 akaun penyewa rumah PPR dan PA DBKL, dianggarkan sekitar 50 peratus penyewa ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,000 sebulan.

"Saya percaya sekitar 20,000 keluarga ini sudah pasti menghadapi masalah pekerjaan dan pendapatan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Pasti ramai dalam kalangan mereka yang meniaga tepi jalan, melakukan pelbagai kerja sampingan (odd jobs), mengasuh anak orang, dan lain-lain lagi serta amat terkesan dari segi kewangan.

"DBKL wajar dan mampu memberi sewa percuma sebulan terutama kepada keluarga-keluarga di PPR dan PA yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan DBKL tidak akan mengenakan sewa sebulan kepada perniagaan yang menyewa premis DBKL serta bantuan kepada 500 pekerja harian DBKL.

Fahmi menambah dianggarkan bantuan itu akan menelan belanja sebanyak RM2.5 juta, atau 0.08 peratus daripada bajet tahunan DBKL bagi tahun ini.

"Saya pohon bantuan tambahan ini disegerakan, demi kebajikan golongan miskin bandar," ujarnya.