Akibat cuba membunuh anggota polis, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditembak mati dalam satu serbuan di Kampung Jawa di sini, pagi Jumaat.

Dalam kejadian sekitar pukul 6 pagi itu, suspek lelaki berusia 47 tahun itu maut di rumah berkenaan selepas terkena tiga das tembakan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, pihaknya bertindak selepas menerima maklumat tentang seorang PATI yang dipercayai memiliki senjata api, tinggal di rumah berkenaan.

"Sebaik tiba, kami mengepung rumah itu yang terletak dalam kawasan hutan.

"Pasukan polis memperkenalkan diri dan meminta suspek membuka pintu rumah, tetapi suspek enggan jadi kami terpaksa memecah pintu rumah itu untuk masuk," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Lahad Datu.

Menurut Nasri, suspek dilihat bersedia mengacukan senapang patah jenis bakakuk ke arah pasukan serbuan, dan dalam keadaan sedemikian, polis melepaskan tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri.

"Suspek meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Pihak kami turut merampas senjata api bakakuk dan peluru penabur serta parang yang disyaki milik suspek.

"Polis juga menemui dokumen pengenalan dan berdasarkan dokumen itu, suspek disyaki warga asing tanpa mempunyai keterangan diri yang sah," katanya.

Tambahnya, semua barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 8 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.