Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Tun Daim Zainuddin, ahli Majlis Penasihat Kerajaan, bebas untuk ke China jika beliau mahu.

Ketika diminta mengulas mengenai lawatan Daim ke China pada sidang media hari ini, Dr Mahathir berkata Daim boleh pergi ke mana sahaja beliau mahu dan boleh menawarkan nasihatnya kepada pentadbiran.

"Saya agak beliau mahu berunding dengan China mengenai kontrak. Beliau (Daim) bebas untuk ke mana sahaja dia mahukan. Beliau boleh memberi nasihat. Namun saya boleh menolaknya jika saya mahu," kata Dr Mahathir.

Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan notis penggantungan kerja ke atas tiga projek berbilion ringgit iaitu Multi-Product Pipeline dan Trans-Sabah Gas Pipeline oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd, serta projek Landasan Kereta Api Pantai Timur - sehingga dimaklumkan kelak.

Daim dilaporkan akan ke China sebelum kunjungan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bagi membincangkan penggantungan projek-projek terbabit.

-- BERNAMA