Walaupun baru berusia 12 tahun, kehidupan kanak-kanak perempuan ini tidak seperti kanak-kanak yang lain.

Kanak-kanak itu, Nor Atikah Maisarah Mohd Saidi menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu selepas ibu kandungnya meninggalkan dia, adiknya dan bapa mereka.

Malah tugas itu digalas Nor Atikah Maisarah sejak berusia lapan tahun lagi apabila ibu tersayang sanggup meninggalkan mereka kira-kira enam tahun lalu.

Memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian merupakan rutin harian kanak-kanak ini hingga memaksanya untuk bangun awal pagi.

Kini, tugas Nor Atikah Maisarah lebih mencabar apabila terpaksa menjaga bapanya Mohd saidi Mohd Nor, 51 tahun yang tidak boleh berjalan selepas terlibat kemalangan baru-baru ini dan adik perempuannya, Nor Atikah Waheeda, 10 tahun.

Nor Atikah Maisarah bangun seawal 3 pagi untuk menyediakan juadah sahur untuk keluarga mereka.

Kisah sedih mereka mula tersebar di media sosial beberapa minggu lalu selepas dua beradik itu tidak membawa wang untuk ke sekolah dan hanya mengharapkan makanan daripada Rancangan Makanan Tambahan yang disediakan pihak sekolah.

Sepanjang Ramadan, Nor Atikah yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Mentuan di Kota Bharu bangkit seawal 3 pagi setiap hari untuk menyediakan juadah sahur untuk mereka bertiga.

“Saya biasa masak masakan yang ayah ajar untuk bersahur dan berbuka, antaranya ayam masak kicap, masak pedas, ikan singgang atau telur goreng tetapi adakalanya hanya bangun panaskan lauk yang dibeli pada waktu siang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gertak Kechupu, Binjai di sini.

Katanya jika ayahnya memberikan wang, beliau akan berjalan kaki membeli juadah untuk berbuka di gerai berhampiran rumah termasuk membeli barangan mentah untuk di masak.

Mohd Saidi terbabit dalam kemalangan sehingga mengakibatkan tangan kanannya mengalami gangguan saraf manakala kedua-dua matanya menjadi kabur.

Sebelum ini, Mohd Saidi bekerja sebagai tukang rumah dengan upah sekitar RM700 sebulan, tetapi kini mereka hanya bergantung kepada belas ihsan sanak saudara dan sumbangan orang kampung yang datang menziarah.

Nor Atikah Maisarah berkata, bagi persiapan Aidilfitri yang bakal tiba, dia dan adiknya mendapat sumbangan baju raya dari guru sekolah mereka.