Dua anggota pasukan keselamatan yang tercedera ditembak penceroboh Sulu semasa kejadian tembak menembak di Tanjung Batu telah dihantar ke Hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata mereka dibawa keluar dari kawasan operasi Ops Daulat pada pukul 8 pagi hari ini dengan menggunakan sebuah helikopter polis.

“Seorang daripada mereka cedera di bahagian peha manakala seorang lagi cedera di kaki kirinya. Seorang pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengikut mereka,” kata beliau semasa satu sidang media di Felda Sahabat 16.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian tersebut yang bermula dari 8 malam hingga 4 pagi tadi.

Beliau berkata, tiada kematian direkodkan dalam insiden terbabit.