Kerajaan negeri Melaka telah menyenaraikan dua nama bagi calon jawatan Speaker yang baharu sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN) bermula bulan depan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata dua nama berkenaan yang merupakan anak kelahiran negeri Hang Tuah itu akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu ini (27 Jun) untuk dibincangkan dan dimuktamadkan.

"Pengumuman nama speaker baharu kerajaan negeri Melaka akan dibuat pada hari Khamis selepas ia dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu depan pada Rabu.

"Dua calon berkenaan adalah lelaki, agak veteran tetapi cukup berpengalaman dalam politik bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Melaka di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lantikan speaker kerajaan negeri Melaka baharu di bawah kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Adly berkata Sidang DUN Melaka dijangka berlangsung pada 19 Julai depan sekiranya Dewan Parlimen bersidang pada 16 Julai depan.

"DUN pada kali ini dijangka bersidang selama tujuh hari yang mana sehari akan berlangsung majlis angkat sumpah dan selebihnya diikuti dengan pembentangan bajet negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Melaka menunjukkan sokongan positif terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah PH.

Majlis yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 25,000 rakyat dari luar dan sekitar Melaka.

Pelbagai juadah hari raya dan makanan tradisi antaranya rendang, sate, nasi impit, mee dan bihun goreng, kebab, roti canai dan kuih-muih disajikan untuk pengunjung yang hadir pada majlis berkenaan. -- Bernama