Dua pekerja kilang Samsung maut dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak tentera di jalan utama Taman Tuanku Jaafar di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata dalam kejadian pada pukul 2.10 petang itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia 28 dan 42 tahun itu mengalami cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila trak tentera dari arah Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Senawang sedang menuju ke Kem Rasah.

"Kemudian datang sebuah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki kedua-dua mangsa dari arah bertentangan dan telah masuk ke simpang kanan jalan secara tiba-tiba menyebabkan trak berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA