Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berlaku adil kepada mereka untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormatnya Datuk Mokhtar Samad berkata, pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa kerajaan akan terus memberikan layanan istimewa kepada kontraktor Bumiputera cukup melegakan.

“Ahli-ahli persatuan seramai 42,000 orang menanti dengan penuh harapan akan keputusan kerajaan kelak berkaitan kuota untuk kontraktor Bumiputera.

“Pastinya keputusan yang terbaik akan dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat.

“Walaupun kerajaan masih belum memutuskan lagi berkenaan kuota kepada kontraktor Bumiputera dalam projek tersebut, namun persatuan optimis, nasib dan masa depan kontraktor Bumiputera akan dibela dan tidak diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: ECRL: Wujudkan 20 peratus kuota khas untuk kontraktor Bumiputera

BACA:
Kos ECRL boleh dikurangkan lagi mengikut skop kerja - Tun M

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan terus memberikan layanan istimewa kepada kontraktor Bumiputera termasuk dalam projek ECRL walaupun ia masih belum memutuskan lagi berkenaan kuota.

Sebelum ini, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia telah meminta kerajaan PH memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bahagian kerja tempatan dalam projek ECRL kepada kontraktor Bumiputera.

Pada 15 April lalu, Dr Mahathir berkata,pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April.

Sebelum ini juga, Wakil Khas Perdana Menteri untuk rundingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China, Tun Daim Zainuddin berkata sektor pembekalan dan aspek teknikal antara yang perlu direbut kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek mega tersebut.

Projek ECRL itu dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan PH berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Ia disambung semula pembinaannya dan akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.