Sepasang kekasih dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dadah syabu yang keseluruhannya seberat 20.5 kilogram (kg) pada tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Joni Rizal Rustam, 42, pemandu peribadi dan Noorayuni Kamsani, 31, peniaga dalam talian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

"Selepas meneliti pembelaan kedua-dua tertuduh dan tiga saksi mereka, mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah memutuskan pembelaan kedua-dua tertuduh atas ketiga-tiga pertuduhan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah. Dengan ini kedua-dua kamu didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sebanyak 10 saksi pihak pendakwaan dan lima saksi pihak pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh yang telah bertunang itu dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Feb 2016.

Anggota keluarga kedua-dua tertuduh dilihat menangis sejurus selepas mahkamah menjatuhkan hukuman manakala Joni Rizal yang memakai baju T berwarna putih dan Noorayuni memakai baju T berwarna hitam berbelang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh.

Bagaimanapun setelah dibawa ke dalam lokap mahkamah, Noorayuni dilihat menangis teresak-esak dan ditenangkan Joni Rizal.

Pada Jun 2016, pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan mengedar syabu seberat 702.5 gram, 18.052kg dan 1.79kg yang kesemuanya berjumlah 20.5445kg di kondominium PV20, Platinum Lake Condo, Setapak, di sini pada 11 pagi, 22 Mei 2015.

Berdasarkan fakta kes, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman mendapat maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah oleh seorang lelaki dan perempuan menggunakan dua kenderaan iaitu Mitsubishi Lancer dan Volkswagen.

Pada 25 Mei 2015, polis berjaya menahan mereka di pondok pengawal keselamatan kondominium sebelum menemukan 702.5 gram syabu di dalam kenderaan Mitsubishi manakala 19.842kg syabu di dalam sebuah bilik di kondominium itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus dan Mazri Mohamad.