Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengimport dua juta biji kelapa dari Indonesia untuk kegunaan sepanjang Ramadan akan datang.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata langkah itu dijangka dapat memenuhi permintaan peniaga dan pengguna sepanjang bulan berkenaan.

"Setiap bulan kita mengimport sejuta biji kelapa dari Indonesia untuk kegunaan tempatan, namun untuk Ramadan ini kita bersedia menambah bekalan sehingga dua juta biji berikutan permintaan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak.

Sementara itu, Badruddin berkata Fama menyasarkan pembukaan 50 pasar tani baharu sepanjang tahun ini di seluruh negara.

"Sehingga kini, sebanyak 664 buah pasar tani telah beroperasi dan berjaya mengumpul keuntungan berjumlah RM822 juta bagi tahun lalu," katanya.

Pasar tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara merupakan pasar tani keempat yang beroperasi di perkarangan masjid. -- BERNAMA