PASANGAN pelakon terkenal, Fasha Sandha dan tunangnya, Aidil Aziz bakal disatukan sebagai suami isteri pada penghujung bulan Mac ini.

Berdasarkan rancangan awal, Fasha, 35, dan Aidil, 32, akan dinikahkan di masjid sebelum sambutan resepsi pernikahan meraka diadakan di kampung halaman masing-masing di Perlis dan Negeri Sembilan.

Aktres popular yang akan berkahwin kali kedua itu berjanji tidak akan merahsiakan majlis hari bahagia yang akan diadakan kelak.

“Saya dan Aidil memang merancang nak nikah hujung Mac ini. Majlis diadakan di Perlis atas permintaan mak saya. Malah, untuk majlis nikah akan dibuat di masjid.

“Kami takkan berahsia. Insya Allah, saya akan berkongsi lanjut dan menjemput rakan media untuk hadir.

“Untuk majlis di sebelah lelaki pula, perancangannya pada April. Pada majlis itu, kami turut menjemput peminat hadir. Jumlah jemputan 5,000 orang,” kata Fasha seperti dilaporkan portal Harian Metro.

BACA: Fasha Sandha dan Aidil Aziz bertunang hari ini

Sekalipun majlis perkahwinannya akan berlangsung dua bulan lagi, namun Fasha mengakui, dia belum membuat sebarang persiapan kerana jadual kerjanya sangat padat ekoran terikat dengan komitmen penggambaran.

“Macam sekarang saya masih sibuk berlakon dan penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dijangka tamat pada 18 Februari. Kemudian, saya ada projek lain yang menanti.

“Ada dua bulan lagi sebelum majlis. Sejujurnya, saya belum ada sebarang persiapan. Berbanding Aidil, dia sudah buat sedikit demi sedikit seperti beli kain untuk keluarganya.

“Perancang perkahwinan sudah ada, tetapi saya belum ada masa untuk berjumpa dan berbincang. Saya nak selesaikan dahulu soal kerja baru boleh fikir mengenai majlis kahwin,” kata Fasha lagi.

Fasha dan Aidil mengikat tali pertunangan pada November lalu.

Sebelum ini, Fasha pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia lima tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.