Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan orang pertama yang menandatangani akuan berkanun (SD) menamakan beliau sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau menerima sokongan majoriti ahli Parlimen dan pimpinan parti-parti lain bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan.

"Saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen daripada (banyak) parti antaranya Bersatu, Barisan Nasional, PAS, GPS, STAR, PBS dan MIC. Hampir 12 parti kalau tak silap.

"Antara yang paling awal menyokong saya ialah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Beliau orang pertama yang tandatangan SD. Terima kasih saya ucapkan," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di ibu negara, pada Selasa.

Turut hadir pada konvensyen ini ialah Abdul Hadi yang mewakili PAS serta pimpinan gabungan PN.

Biarpun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk selepas itu tidak mempunyai manifesto kerana dibentuk ketika krisis politik, Muhyiddin menegaskan pihaknya tetap mementingkan tanggungjawab terhadap rakyat.

"Kita tidak ada manifesto kerana dibentuk ketika berlakunya krisis politik yang agak rumit. Tetapi walaupun tiada sebarang aku janji, ia tidak bermakna saya boleh lakukan apa sahaja yang saya suka.

"Tiada manifesto bukan bermakna tiada accountability kepada rakyat kerana pada saya, accountability sebagai pemimpin sangat mustahak, apatah lagi sebagai orang Islam.

"Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-Menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat," ujarnya.

Muhyiddin berkata, tempoh enam bulan pentadbiran kerajaan PN adalah terlalu singkat untuk membuat penilaian pencapaian yang lebih komprehensif.

"Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai pencapaian kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya. Ya, saya telah melakukan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada rakyat.

"Tetapi bukanlah hak saya untuk mengatakan sama ada saya telah melakukan yang terbaik. Saya serahkan itu kepada rakyat," tambahnya.