Harga rumah di negara ini disasar turun antara lima ke 10 peratus berikutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada sektor pembinaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah menyatakan kesediaan menurunkan harga rumah susulan keputusan kerajaan itu.

Bagaimanapun, pengurangan kadar itu tidak melibatkan projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah kerana berada dalam kategori harga rumah terkawal.

“Kalau harga rumah terkawal, itu agak sukar. Yang kita sebutkan adalah yang bukan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Ia juga adalah untuk rumah baru dilancarkan, untuk yang sedia ada, kena tunggu hari Jumaat (pembentangan Belanjawan 2019),” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau pada masa sama menegaskan kerajaan akan mengenakan SST kepada pemaju yang tidak menurunkan harga meskipun mendapat pengecualian cukai berkenaan.

“Sekiranya tiada penurunan untuk harga rumah yang belum dibina, yang belum dikenakan SST, kita mungkin akan kenakan balik.

“Untuk rumah yang telah dibina, itu lain kira. Ini untuk rumah baru yang kita tak kenakan SST, kita nak lihat ada penurunan harga. Kalau tak, kita kenakan balik SST enam peratus,” ujarnya.