Sepanjang tempoh enam dekad ini, wanita Malaysia mencatat pelbagai transformasi besar dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk peningkatan taraf sosio-ekonomi dan pendidikan.

Malah mereka turut berpeluang mengukir kecemerlangan dalam kemahiran kerjaya masing-masing termasuk bidang profesional serta yang sebelum ini dimonopoli kaum lelaki khususnya di bawah pentadbiran kerajaan yang didokong Barisan Nasional (BN).

Boleh dikatakan juga golongan wanita tanpa mengira status daripada bujang sehinggalah mereka yang terpaksa mengharungi hidup sendirian dan menjaga anak dengan gelaran "ibu tunggal" menerima banyak manfaat daripada pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan.

Justeru tema sambutan Hari Pekerja yang akan disambut pada 1 Mei ini "Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara" sudah tentu mengambil kira sumbangan kaum wanita di negara ini yang boleh dikatakan "duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi" dengan kaum lelaki.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Golongan wanita sekali lagi diberi perhatian kerajaan BN ketika melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebagai contohnya, sebuah Majlis Ekonomi Wanita (MEW) khusus untuk agenda ekonomi wanita akan ditubuhkan.

Martabat kedudukan

Bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang realistik untuk membolehkan kedudukan wanita terus dimartabatkan.

"Dalam situasi semasa hari ini taraf ekonomi yang baik dan stabil penting untuk golongan wanita melengkapkan diri berdepan dengan pelbagai cabaran kos sara hidup dan sebagainya," kata beliau kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam manifesto BN yang diumumkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN pada 7 April lepas, sebanyak 74 daripada 364 inisiatif adalah mengenai dan berkaitan dengan wanita, termasuk 25 pengisian khusus untuk kaum hawa.

Diberi keutamaan

Berkongsi pandangan, Presiden Women in Nuclear Malaysia (WiN) Dr Noor Hasnah Mohamed Khairullah berkata tiada seorang wanita pun akan tercicir sekiranya 12 kelompok kumpulan sasaran yang terkandung dalam manifesto BN diberi keutamaan secara inklusif.

Kelompok itu merangkumi ibu dan wanita tunggal, wanita muda, wanita bekerjaya, pemimpin wanita, wanita pendidik, wanita veteran, usahawan wanita, wanita Felda, wanita seni kreatif, wanita digital, wanita sihat dan wanita selamat.

Noor Hasnah yang menempah nama dalam bidang yang lazimnya dipelopori kaum lelaki dengan pengalaman selama hampir 40 tahun, melihat penglibatan dan peluang untuk wanita menceburi pelbagai bidang di negara ini adalah sangat tinggi berbanding negara yang lebih maju.

"Pencapaian wanita dalam pelbagai bidang amat membanggakan, tiada istilah kaum wanita disekat untuk meneroka atau menguasai bidang yang sinonim dengan kaum lelaki. Namun tidak dinafikan ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan antaranya kemudahan penjagaan anak di tempat kerja serta peluang untuk wanita kembali bekerja selepas bercuti panjang kerana membesarkan anak.

"Kita juga ada ramai wanita berkelayakan yang wajar diberikan peluang untuk menerajui organisasi, dilantik sebagai anggota pengurusan tertinggi dan menjadi wakil dalam semua sektor seperti jumlah sekurang-kurangnya 30 peratus yang dinyatakan dalam manifesto," katanya.

"Untuk memastikan tiada sekatan kemajuan wanita atas dasar gender serta menghentikan budaya 'boys' club', perlu diwujudkan sistem kenaikan pangkat serta 'succession planning' yang telus.

"Bagi jawatan tertinggi pula, peluang harus diberikan kepada semua yang layak, tanpa mengira jantina untuk memohon atau bertanding secara terbuka bagi mendapatkan jawatan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA