Seorang lagi kanak-kanak di Kedah meninggal dunia akibat jangkitan difteria.

Muhammad Rusydi Rizky Amdin, 11 bulan, meninggal dunia di rumahnya di Flat Paya Nahu, di sini, awal pagi tadi.

Kanak-kanak itu merupakan adik kepada Muhammad Haris Haikal, dua tahun, yang meninggal dunia 22 Jun lalu juga akibat jangkitan difteria.

Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Zalifah Hussin, 40, beliau sedih dengan pemergian seorang lagi anaknya akibat jangkitan difteria dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Katanya, anak bongsunya itu meninggal dunia kira-kira 2 pagi tadi selepas didapati tidak lagi bernafas di dalam bilik tidur mereka.

Beliau menyedari kejadian itu apabila terjaga dari tidur setelah seorang lagi anaknya, Mohd Taufik Iskandar berusia tiga tahun terjaga kerana mengalami demam dan cirit birit.

Susulan itu, Muhammad Rusydi dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dan disahkan meninggal dunia.

Menurut Zalifah, sebelum itu beliau memberi anaknya antibiotik kira-kira jam 11 malam Sabtu dan keadaannya tidak menampakkan sebarang perubahan.

“Terkilanlah sebab baru keluar tiga hari, dia makan semua. Rasa sayu sebab dia tak tunjuk yang dia sakit,” kata Zalifah.

Jenazah Muhammad Rusydi Rizky dimandi dan disembahyangkan di Surau Flat Paya Nahu sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Taman Kelisa Ahad petang.

Pada 21 Jun lalu, enam sekeluarga dari Flat Paya Nahu disahkan dijangkiti difteria.