New Zealand, Denmark, Finland dan Sweden secara konsisten berada di kedudukan lima teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Ia sekali gus menunjukkan bahawa negara-negara itu paling bersih daripada rasuah berbanding 180 negara yang dinilai.

Pastinya negara-negara berkenaan tidak sempurna apabila tidak menerima mata penuh, namun ramai yang ingin mengetahui bagaimana negara-negara ini membendung rasuah.

Penyertaan rakyat dan komitmen politik

Presiden Transparency International - Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, di samping penguatkuasaan undang-undang, terdapat juga penyertaan yang terbuka kepada rakyat untuk memerangi rasuah selain mekanisma ketelusan seperti pendedahan maklumat.

"Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh beberapa institusi terhadap Finland, Denmark dan Sweden, ia menunjukkan bahawa sistem integriti yang diamalkan negara tersebut berfungsi dengan sempurna.

"Di samping komitmen yang kuat terhadap anti-rasuah oleh pemimpin politik Finland, Sweden, Denmark dan New Zealand, mereka semua berkongsi satu set ciri-ciri umum yang biasanya dikaitkan dengan tahap rasuah yang lebih rendah," katanya ketika ditemubual Astro AWANI.

Katanya, Laporan Transparency International (TI) pada 2016 menunjukkan bahawa kebebasan media mempunyai hubung kait positif untuk mengawal rasuah dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Hampir tidak wujud ketidaksamaan

Selain itu, Finland, Denmark, Sweden dan New Zealand semuanya mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang tinggi, kadar ketidaksamaan (inequality) yang rendah, kadar celik huruf hampir 100 peratus dan mengutamakan isu hak asasi manusia seperti kesaksamaan jantina dan kebebasan maklumat.

"Secara kritis, kerajaan negara-negara ini mempunyai amalan keterbukaan dan keberkesanan yang baik.

"Negara-negara berprestasi tinggi ini mempunyai mekanisme ketelusan dan akauntabiliti yang membolehkan rakyat memantau tanggungjawab yang dipikul ahli politik mereka termasuk dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat," katanya.

Akses terbuka belanjawan dan dana awam

Pendedahan maklumat belanjawan atau bajet tahunan telah mengurangkan berlakunya ketirisan, pembaziran dan penyelewengan dana awam.

Malah, negara Scandinavia itu turut memilih untuk mendedahkan maklumat belanjawan serta meningkatkan penyertaan rakyat dalam keseluruhan proses belanjawan, iaitu semasa proses perancangan hingga setiap sen yang dibelanjakan.

Seperti di Sweden, kerajaan melaksanakan Indeks Bajet Terbuka iaitu platform yang membenarkan rakyat menilai bagaimana kerajaan menguruskan dana awam.

Di Denmark pula, terdapat kod kelakuan untuk penjawat awam di mana salah satu kandungannya adalah mewajibkan menteri mengemukakan maklumat serta butiran perjalanan dan hadiah setiap bulan.

Malah, terdapat kerangka undang-undang yang kukuh dalam menangani rasuah selain sistem kehakiman yang bebas dan cekap.

Laporan TI sebelum ini turut memperakui bahawa banyak negara boleh menggguna pakai konsep ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus yang baik seperti dilakukan New Zealand, Denmark, Finland dan Sweden.

Jika di Singapura, mereka mengguna pakai pendekatan top-down dalam membendung rasuah yang dilihat sukar dilaksanakan kerana tidak lestari terhadap ekonomi kebanyakkan negara.

Bagaimanapun, pendekatan bottom-up seperti yang dilaksanakan Finland dengan berteraskan kepercayaan rakyat, ketelusan dan modal sosial adalah berpatutan, boleh dipindah milik dan boleh disesuaikan dengan konteks politik yang berbeza.

Berdasarkan Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dikeluarkan TI, New Zealand menduduki tangga pertama dengan skor 89, Denmark di kedudukan kedua, Finland (3), Norway (4) dan Switzerland (5).