Kerajaan Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) sedang mengkaji pelaksanaan sesuai bagi menyelesaikan isu kekurangan Mesin Teler Automatik (ATM) di luar bandar negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia bagi memudahkan penduduk luar bandar melakukan aktiviti urus niaga dan transaksi harian tanpa perlu berkumpul di sesebuah kawasan dalam tempoh yang agak lama.

"Kita belum dapat program yang terperinci. Sebaik sahaja kita mendapat perinciannya kita akan maklumkan kepada media," katanya ringkas ketika sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa cawangan bank bergerak yang dilengkapi dengan mesin ATM MEPS akan beroperasi di luar bandar Sarawak.

Ia bertujuan mengatasi masalah penduduk luar bandar mengeluarkan wang tunai daripada bantuan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya beliau telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan beberapa institusi kewangan lain bagi menyediakan perkhidmatan perbankan ke kawasan luar bandar.