Kerajaan negeri akan melaksanakan penstrukturan dalam pentadbiran di jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan keberkesanan fungsi organisasi berkenaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penstrukturan itu juga perlu bagi mengurangkan pertindihan tugas, pembaziran serta ketirisan sumber dan dana kerajaan sekali gus memenuhi aspirasi rakyat Sabah.

"Kita akan lihat, jika ada pertindihan dan ada keperluan mengecilkan (agensi), kita akan mengecilkannya. Contohnya beberapa GLC yang banyak sangat badan dan sendirian berhad. Kalau perlu kita gabungkan, kita akan gabungkan supaya ada fokus.

"Kalau bahagian perladangan, ia (fokus) kepada perladangan. Kalau pembalakan, bahagian pembalakan. Banyak sangat agensi (menyebabkan) banyak sangat pembaziran dan ketirisan. Yang penting kepada kita ialah penyelarasan dari segi perkhidmatan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Dengan Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah di sini pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan pemindahan semula serta penyelarasan aset pertahanan dan keselamatan di lokasi strategik kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya, cadangan penyelarasan semula itu hanya akan dilaksanakan jika mendapat persetujuan di peringkat Persekutuan agar kemudahan aset yang diberi dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kita perlu ikut prosedur daripada peringkat Persekutuan agar kita boleh selaraskan kemudahan aset yang terbatas dan dapat dimanfaatkan di tempat yang diperlukan.

"Kita tahu ada pasukan polis yang boleh menjaga dalam negara dan ada juga pasukan di peringkat 'boader line'. Jadi ini yang perlu kita kaji secara mendalam untuk pastikan keterbatasan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"Justeru, ini akan mengambil sedikit masa kerana ini melibatkan persetujuan di peringkat kerajaan persekutuan," katanya.