ADUN Chukai, Hanafiah Mat meminta agar Kilang kayu Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama) yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Jakar di Chukai tidak dipindahkan keluar dari Kemaman.

Hanafiah berkata, ia bagi mengelakkan masyarakat daerah ini hilang pekerjaan sekali gus memberi kesan kepada keluarga kesemua pekerja itu sendiri.

Katanya, bagi membolehkan pekerja sedia ada dapat kekal bekerja di kilang kayu terbabit, kilang itu dicadang dipindahkan ke Mak Lagam, Chukai yang kini sedang membangun.

"Saya pertahankan hak pekerja-pekerja kilang berkenaan agar ia kekal di Kemaman kerana ada cadangan yang mahu memindahkannya ke Bukit Besi di Dungun.

"Kalau kilang ini dipindahkan ke Mak Lagam, masyarakat di sekitar Chukai dan Kemaman keseluruhannya masih lagi boleh terus bekerja," katanya.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu memohon agar fungsi kilang itu dikekalkan meskipun ia dipindahkan nanti.

"Saya juga difahamkan jika berpindah nanti cuma industri hiliran sahaja yang akan dijalankan dan tidak ada lagi kerja-kerja asas seperti membelah kayu dan sebagainya.

"Sekiranya ia berlaku seramai 159 pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja awalan memproses kayu itu akan hilang pekerjaan," kata beliau.

Hanafiah turut merayu agar perpindahan berkenaan dilakukan selepas PRU15 dan untuk sementara waktu bagi tempoh itu beliau berharap kilang itu kekal beroperasi di tapak asal.

Difahamkan keputusan untuk memindahkan kilang tersebut ke tempat lain kerana kawasan perindustrian berkenaan kini sedang berkembang menjadi kawasan perumahan.

Ekoran keadaan itu, katanya, ramai pekerja kilang tersebut datang berjumpanya untuk mengadu nasib dan meluahkan rasa marah.

Pesama merupakan anak syarikat di bawah Golden Pharos Berhad yang dimiliki kerajaan Terengganu.

Kata Hanafiah, masa perlu diberikan kepada kerajaan negeri baharu di bawah pimpinan Pas untuk menganalisa, melihat, mengkaji dan mendengar rintihan rakyat tentang rancangan perpindahan itu yang diluluskan sudah lama iaitu semasa pemerintahan kerajaan negeri terdahulu.