Baki jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak (perhimpunan) di Masjid Jamek Sri Petaling yang masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 dinasihati supaya jujur dan amanah kepada pasukan perubatan.

Pakar Perunding Pediatrik dan Perubatan, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin menjelaskan ada dalam kalangan mereka yang datang membuat saringan tidak memaklumkan sejarah perjalanan mahupun aktiviti yang dilakukan oleh mereka.

“Kalau anda ada batuk, demam, susah nafas, tolong berjumpa dengan doktor. Kata pada doktor, yang anda telah berada di Sri Petaling. Ini amat penting.

“Ada yang tidak bagi tahu (pasukan perubatan). Di mana amanah anda sebagai ahli jemaah tabligh?

“Kedua, jika tiada batuk, demam atau kesukaran bernafas, duduk di rumah anda selama 14 hari. Kuarantin diri. Jauhkan diri anda daripada isteri, anak atau tok.

“Tolonglah. Kalau anda bergaul dengan mereka anda akan tularkan kepada keluarga anda,” tegasnya dalam temubual bersama Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar.

Ujarnya, sifat tanggungjawab dan jujur perlu ada bukan sahaja dalam kalangan jemaah tabligh di Sri Petaling, tetapi juga semua rakyat Malaysia dalam mendepani wabak tersebut.

“Kita harus jujur dan amanah. Kita harus mengikut sunnah Rasullullah SAW. Sebab Nabi bersabda;

“Kalau kita dengar ada wabak, kita jangan masuk. Kalau kita dalam wabak itu, kita jangan keluar.

“Jadi saya tanya tabligh, bagaimana pendirian kita dalam hal ini? Anda telah pun keluar daripada epicentre (pusat penularan) wabak tadi. Anda harus bertanggungjawab,” ujarnya.

Sehingga kini, kira-kira 4,000 lagi individu yang menghadiri ijtimak (perjumpaan) tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada penghujung Februari lalu masih belum menjalani saringan COVID-19.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan sejumlah 15 petugas kesihatan disahkan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat beberapa insiden pada minggu ini di mana pesakit menyembunyikan hubungan atau gejala mereka.

Sejarah perjalanan dan maklumat hubungan rapat, contohnya, yang dikaitkan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling juga tidak didedahkan.



Temu bual Agenda AWANI ini akan disiarkan pada Sabtu, 21 Mac jam 9 malam di saluran 501, Astro AWANI.