Pengurusan Tertinggi Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan penangguhan semua sesi kuliah pada Isnin, 5 Oktober di semua cawangan UiTM di Selangor, kata Naib Canselornya Tan Sri Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada hari ini, 4 Oktober 2015.

"Seterusnya, penangguhan kuliah pada hari-hari berikutnya akan diumumkan sehari sebelum tarikh penangguhan, berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.

"Penangguhan tersebut hanya melibatkan jadual kuliah, manakala peperiksaan akhir pelajar-pelajar diploma diteruskan mengikut jadual," memetik kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Sahol Hamid, kakitangan UiTM masih dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.

Sementara itu, bagi kampus-kampus negeri lain pula, pemakluman mengenai penangguhan kuliah berdasarkan bacaan IPU adalah tertakluk kepada keputusan Rektor Kampus masing-masing.

Justeru, Sahol Hamid menasihati semua kakitangan dan pelajar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang gangguan kesihatan akibat jerebu seperti mengurangkan aktiviti luar, memakai topeng muka dan minum air secukupnya.

Bandaraya Shah Alam ialah yang pertama merekodkan bacaan IPU berbahaya iaitu 308 menerusi cerapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini.

Sementara itu, Rektor UiTM Melaka, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim turut mengumumkan penangguhan kuliah pada Isnin bagi tiga kampus cawangan di negeri itu iaitu Kampus Bandaraya Melaka, Alor Gajah and Jasin.