Jumlah bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dijangka terus meningkat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan trend kutipan balik pinjaman PTPTN yang semakin meningkat selain prestasi kutipan juga melebihi sasaran.

Katanya, PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman berjumlah RM2 bilion tahun lepas, bagaimanapun menerima kutipan melebihi sasaran iaitu sebanyak RM3.4 bilion.

“Peminjam PTPTN sudah ramai nak membayar dan bilangannya bertambah.

“Ini bermakna rakyat Malaysia bertambah baik, peminjam bertambah baik. Kalau aspek pekerjaan itu pengukurannya, (maka) pekerjaan bertambah baik.

“Jadi kita lihat perkara yang lebih baik dan positif. Insya-Allah kerana sikap inilah PTPTN bertambah baik. Kalau dahulunya keluar semua negatif sekarang positif,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Kongres Duta Jauhar 3.0 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Mitec, Bandar Seri Alam, di sini.

Jelasnya lagi, pada tahun ini PTPTN menyasarkan kutipan bayaran balik sejumlah RM4 bilion kerana yakin situasi peminjam bertambah baik.

Beliau juga berterima kasih kepada peminjan PTPTN yang memberi kerjasama baik kerana ia akan memberi impak yang positif kepada 200,000 pelajar setiap tahun.

Semalam, dilaporkan sebanyak 586,863 peminjam PTPTN disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sehingga 31 Januari lalu.

Ketua Eksekutif ptptn, Wan Ahmad Wan Yusoff dilaporkan berkata, perkara itu membabitkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.