Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat kajian baharu bagi model projek fidlot dan tenusu yang dijangka diperoleh akhir September depan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia bagi memastikan kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dibangunkan sebelum ini tidak lagi berulang.

"Kita sedang menunggu, akhir bulan September ini kita akan dapat pelbagai model untuk kita lihat. Perundingan dengan pihak-pihak berminat juga sedang berjalan. Ada yang buat proposal, ada yang buat pelaburan. Kita sedang teliti. Kali ini kita akan pastikan yang benar-benar berminat," ujarnya lagi.

Ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan kajian dari pelbagai pihak yang berkaitan.

"Saya telah umumkan suatu projek fidlot dan tenusu ini mesti bermula walaupun NFC gagal. Kita akan membuat satu kajian baharu dan kementerian sedang menunggu laporan daripada beberapa pihak yang membuat kajian bagi memastikan projek fidlot ini pada masa akan datang tidak akan mengulangi kesilapan yang sama," katanya dalam sidang media selepas Program Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.

Kerajaan katanya hanya bercadang memenuhi 30 peratus pasaran bekalan daging tempatan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada import.

Kerajaan juga sedang menumpukan kepada usaha mewujudkan modal insan petani dan pesawah dengan menjadiakan pertanian untuk sara hidup dan bukan hanya untuk industri.

"Rakyat perlu yakin bahawa hasil pertanian itu boleh menyara hidup mereka barulah kita meningkatkan pendapatan isi rumah petani-petani kita di seluruh negara," kata beliau.

Tambahnya, kerajaan juga sedang berunding dengan kerajaan negeri bagi mengenalpasti tanah-tanah yang sesuai dibangunkan projek berkenaan.