Tiga kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) cedera parah pada Rabu apabila terkena renjatan elektrik selepas pencawang terbakar di Kompleks Api-Api, di sini.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, semua mangsa yang parah, lelaki berusia 25, 28 dan 52 tahun, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.57 malam dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan oil Suiz Gear pada pencawang elektrik yang terbakar dan tiga mangsa parah akibat terkena renjatan elektrik.

"Api berjaya dikawal jam 11.23 malam dan semua dihantar menggunakan kenderaan ambulans ke HQE untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan elektrik di pencawang berkenaan.

"Pasukan bomba menggunakan tiga unit alat pemadam api dalam operasi itu," tambahnya.