Misteri kehilangan seorang kanak-kanak yang tidak pulang selepas keluar bermain akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui mati lemas di dalam kolam terbiar tidak jauh dari rumahnya di sini, malam tadi.

Mangsa, Aiman Zikri Basri, 6, dari Kampung Lubuk Buaya, Kedawang, Langkawi, dikatakan keluar bermain bersendirian di kawasan kolam berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, ibu bapa mangsa tidak menyedari mangsa telah keluar. Apabila disedari anak mereka tidak pulang ke rumah, ibu bapa mangsa membuat laporan tentang kehilangan tersebut.

Pihak bomba yang dihubungi polis sejurus menerima maklumat kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh ke kolam berkenaan, segera melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemui.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 7.39 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikerah ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pihak bomba melakukan usaha mencari dan menyelamat di permukaan sebelum menemui mayat mangsa terapung di tepi kolam berkeluasan kira-kira 0.6 hektar dengan kedalaman lebih kurang enam meter.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian manakala mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.