Berdasarkan maklumat awam dan risikan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak pada 5 September lalu berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan 45 kontena yang berisi arak dan rokok yang belum lulus kastam dianggarkan bernilai RM17.476 juta dari Ho Chin Minh, Vietnam.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, kejayaan terbesar di negeri itu dicapai setelah pihaknya menyerbu sebuah jeti persendirian sekitar jam 11.30 pagi di Jalan Salim-Stabau, dekat sini.

“Pemeriksaan terhadap 44 kontena di atas tongkang tersebut menemui sebanyak 76,250 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2.42 juta, dengan nilai cukai sebanyak RM11.27 juta.

“Manakala satu lagi kontena menyimpan 21,250 karton rokok putih berharga RM340,000 dan jumlah cukai sebanyak RM3.10 juta," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Katanya, pihaknya juga menemui 400 kotak minuman keras jenis wain yang disimpan di sebuah gudang tidak jauh dari jeti persendirian tersebut, dengan nilai dan cukai sekitar RM346,946.

“Susulan kejayaan itu, JKDM Sarawak telah menahan tujuh warga Indonesia yang juga kru tongkang berkenaan, manakala seorang lelaki tempatan, dicekup di kawasan gudang,” katanya.

Menurutnya, barang-barang seludup ini dipercayai dibawa masuk melalui bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan/barang belum lulus kastam.