KAUKUS Reformasi dan Tadbir Urus diwujudkan adalah bertujuan untuk mengkaji dan meneliti segala undang-undang, peraturan, cadangan, usul, petisyen, lampiran atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan langkah-langkah dan matlamat untuk menaiktaraf dan memperbaiki institusi Parlimen sebagai mekanisme semak imbang yang efektif.

Dalam pada itu, Kaukus ini yang dipengerusikan oleh saya turut melibatkan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak. Dari pihak Kerajaan, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.

Dari pihak Pembangkang pula adalah Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kaukus ini akan menyelia perjalanan urusan pentadbiran Kerajaan di setiap peringkat bagi memastikan keberkesanan ekonomi dan perjalanan pentadbiran Kerajaan.

Dalam hal ini, Kaukus ini boleh mengemukakan permintaan kepada pihak Kerajaan untuk memperkukuhkan tadbir urus dalam Kerajaan yang berkaitan skop kajian Kaukus ini bagi penelitian dan pembaharuan. Mesyuarat Kaukus semalam (29 Januari 2019) telah membincangkan hala tuju Kaukus dan turut membuat beberapa syor dan cadangan, antaranya seperti berikut:

1. Untuk memastikan Kaukus ini dapat berfungsi dengan lebih efektif, maka usaha akan diambil untuk menjadikan Kaukus ini sebagai Jawatankuasa Pilihan Bersama Bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di bawah Peraturan 87, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Perkara ini akan dibincangkan dengan Tuan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan Tuan Yang di-Pertuan Dewan Negara mengenai perlaksanaan Jawatankuasa bersama ini berserta dengan terma-terma rujukannya;

2. Laporan Tahunan SUHAKAM akan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar Ahli-Ahli Parlimen dapat memberikan pandangan dan cadangan dalam mengatasi serta memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia;

3. Semua rang undang-undang yang dibentangkan ke Parlimen oleh Kerajaan perlu melalui saringan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat atau Kaukus ini;

4. Cadangan agar YAA Ketua Hakim Negara mengetuai panel bebas mengenai reformasi institusi perundangan negara;

5. Kaukus menyokong gesaan YAB Perdana Menteri untuk memastikan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dilaksana dan diterjemah secara berkesan, terutama dalam kalangan pemimpin politik dan penjawat awam dalam pentadbiran Kerajaan sekarang; dan

6. Tumpuan mesyuarat kaukus berikut akan menjurus kepada penilaian keberkesanan tindakan Kerajaan dalam mengangkat kedudukan rakyat miskin desa dan bandar.

ANWAR IBRAHIM
Pengerusi, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus
Ahli Parlimen Port Dickson