Kerajaan negeri Kelantan disaran membentangkan pelan penggunaan wang royalti petroleum kepada rakyat agar masyarakat dapat mengetahui bagaimana wang itu bakal digunakan untuk kepentingan mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa berkata kerajaan negeri harus memanfaatkan keprihatinan kerajaan persekutuan yang bersetuju menyalurkan bayaran royalti petroleum untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

"Saya telah dengar kenyataan pemimpin Pas Kelantan yang begitu ghairah mahu mendapat wang tersebut (royalti), namun saya tidak mendengar perancangan yang akan dilakukan oleh mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat Operasi Amanah Kawasan Parlimen Tanah Merah di sini, malam tadi.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan menghargai tindakan kerajaan persekutuan yang bersetuju untuk memberi royalti petroleum kepada negeri ini berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara bulan lepas.

-- BERNAMA